Wednesday, 7 April 2010

:: Bagaimana Dengan Saf Solat Kita? ::

Bismillah ...

أَقِيْمُوْا صُفُوفَكم وَتَرَاصُّوا فَإِنِّيْ أرَاكُم مِن وَرَاءِ ظَهْرِيْ
"Dirikanlah saf-saf kamu dan rapatkan tumit-tumit di antara kamu. Sesungguhnya aku melihat kamu dari belakangku" [1] [ Hadis riwayat Bukhari (2/174) & Muslim (434), juga disebut di dalam Riyadus Soliheen (2/1088), perintah nabi s.a.w pada setiap kali waktu solat kepada para makmum yang berada di belakangnya ].

"Allahu akbar", dengan penuh rasa kehinaan, rendah diri, takut &harap kepada Allah s.w.t… nabi s.a.w bertakbir memulakan solatnya sebagai imam di hadapan sekalian para sahabat r.a.

Dalam keadaan saf yang rapat, bahu membahu, tumit bertumit, semuanya khusu' menghadapkan wajah masing-masing di hadapan Allah Rabbul Jalil sambil mendengar nasihat, teguran, berita & kisah yang dibacakan oleh nabi s.a.w di dalam al-Quran. Bergetar hati-hati mereka tatkala mendengar ayat al-Quran dibacakan kepada mereka.

Mengapa nabi s.a.w memerintahkan agar makmum merapatkan saf?
… Kerana merapatkan saf di dalam solat merupakan salah satu dari kesempurnaan &kecantikan solat berjemaah. Nabis.a.w telah bersabda :

سَوُّوا صُفُوفَكُمْ فَإِنَّ تَسْوِيَةَ الصُّفُوفِ مِنْ إِقَامَةِ الصَّلَاةِ
"Rapatkan saf-saf kamu. Sesungguhnya merapatkan saf merupakan sebahagian dari kesempurnaan solat" [2] [ Hadis riwayat Bukhori (3/150) &Muslim (2/427). Guru kami, Syeikh Dr. Mustapha al-Bugho menyatakan bahawa hadis ini merupakan satu tuntutan untuk merapatkan saf kerana ia menunjukkan kepada kecantikan dan kesempurnaan solat serta mempersatukan hati-hati mereka yang mendirikan solat ( Nuzhatul Muttaqin (2/51) ]

Sebagaimana kita dituntut untuk melakukan yang terbaik di dalam urusan pekerjaan, di dalam perkara ibadah kita juga dituntut untuk melakukan yang demikian. Kita bukan malaikat yang sentiasa istiqamah imannya, bukan juga para anbia' yang sentiasa meningkat darjat keimanannya tetapi kita adalah insan biasa yang imannya ada pasang & surutnya serta turun &naiknya. Paginya beriman petangnya kufur. Petangnya pula beriman siangnya menjadi kufur. Menyedari hakikat ini, marilah kita menyempurnakan ibadah-ibadah kita supaya dengan kesempurnaan tersebut ia dapat menutup kelopongan-kelopongan yang ada di dalam amalan kita yang lain. Marilah kita berusaha ke arah itu dengan sebaiknya....

Mengapa nabi s.a.w memerintahkan agar makmum merapatkan saf?
… Kerana merapatkan saf dapat menyatukan hati-hati manusia. Kasih sayang & keprihatinan seseorang kepada orang lain boleh terhasil dari sentuhan-sentuhan mereka samada melalui bersalaman tangan, pelukan & ciuman mahabbah, juga saf di dalam solat. Ibu bapa menunjukkan kasih sayang kepada anak-anak mereka melalui ciuman, dakapan & belain kasih mereka. Begitu juga halnya berlaku di antara suami isteri. Menunjukkan bahawa di sebalik sentuhan itu terdapat rahsia yg diciptakan oleh Allah s.w.t dalam membina keharmonian hidup berkasih sayang. Perintah merapatkan saf juga merupakan suatu petanda bahawa agama Islam begitu sekali menuntut agar kehidupan mereka didirikan atas semangat berjamaah (persaudaraan) , kesatuan (tidak berpecah belah) & mahabbah (kedamaian) … bukan kesombongan, bangga diri & bersendirian. Tidak kira siapapun dia, bagaimana kedudukan pangkatnya, warna kulitnya & bangsanya … saf perlu tetap dirapatkan.

كان رسولُ اللهِ (ص) يَتَخَلَّلُ الصَفَّ مِن ناحيةٍ إلى ناحيةٍ ، يَمْسَحُ صُدورَنَا ومَنَاكِبَنا ويقول: لا تَخْتَلِفُوا فَتَخْتَلِفُ قلوبُكم
"Rasulullah s.a.w berjalan di celah-celah (makmum) dari hujung ke hujung, (kemudian) baginda menyapu dada-dada & tumit-tumit kami, lalu berkata : Jangan kamu berpecah belah, akan berpecah belah hati-hati kamu"[3] [ Riwayat Abu Daud (664) dengan sanad yg Hasan.]

Mengapa nabi s.a.w memerintahkan agar makmum merapatkan saf?
… Kerana merapatkan saf dapat membantu memberi kekhusukkan ketika solat & menghalang dari dicelahi oleh syaitan. Ketika kita sedang 'mendirikan' solat, iblis akan menghantar syaitan-syaitan yang berpangkat 'captain' untuk mengganggu kita supaya kita leka & lalai. Akibat kelalaian & kelekaan kita ketika solat, title dari 'mendirikan' solat akan turun kepada title 'menunaikan' solat ...

Sebagai perumpamaan, bukankah berbatang-batang mancis yang diikat sukar untuk dipatahkan jika hendak dibandingkan dengan hanya sebatang mancis yang berdiri sendirian? Begitulah keadaannya di dalam solat … kedudukan saf yang rapat memperkuatkan hati-hati kita, mengkhusukkan hati & permikiran kita serta menyukarkan syaitan untuk menodai kita. Tetapi ia tidak berlaku jika kita berjauhan & tidak mahu bahu membahu … dengan kuli syaitan pun kita boleh tertewas.

فَوَالذِيْ نَفْسِيْ بِيَدِهِ إِنِّيْ لَأَرَى الشَيْطانَ يَدْخُلُ مِنْ خَلَلِ الصَّفِّ كأنها الحَذَفُ
".. Demi yang diri aku berada di tangan-Nya, sesungguhnya aku benar-benar melihat syaitan masuk / mencelahi celah-celah saf seolah-seolah seperti al-hazafu"[4] [Hadis Sahih riwayat Abu Daud (667) dengan sanad mengikut syarat Muslim. 'Al-Hazafu' adalah kambing hitam yg kecil yang berada di sebelah kanan.

Inilah antara jawapan mengapa kita diperintahkan untuk merapatkan saf di dalam solat. Bukan sekadar makmum, imam juga dituntut agar memberikan peringatan tersebut sebelum solat dimulakan kerana ia merupakan sunnah yang ditunjukkan oleh nabi s.a.w pada setiap kali hendak memulakan solat ...

Kesilapan kita orang Melayu

Apa yang mendukacitakan perkara ini tidak dititikberatkan oleh orang Melayu. Sepanjang penilitian saya berada bersama masyarakat Muslim Arab, seperti di UIA, Baitil Haram, Masjid an-Nabawi, Jami' Umawiyyah, Gami' al-Azhar & Jami'ah Yarmouk, saya boleh membuat kesimpulan bahawa sikap ini hanya wujud di kalangan orang Melayu; orang yang sama warna kulit dengan saya, sama bahasa & rupa. Sikap ini tidak wujud pada bangsa saudara se-Islam saya yang lain.

Bahkan orang Arab, mereka sanggup menegur orang di sebelahnya jika tumitnya tidak selari dengan tumit orang pada safnya. Malah kadang-kadang ketika solat didirikan .. kalau ada kelopongan atau celahan, ia akan segera diisi oleh mereka atau mereka menarik orang di sebelah mereka supaya kembali merapatkan saf.

Namun hal ini jarang terdapat pada orang melayu. Mereka lebih selesa solat berjauhan, tidak mahu bahu membahu, tumit bertumit. Semakin kita ingin rapat, semakin dia cuba menjauhkan diri. Sehingga jaraknya kadang-kadang boleh diisi oleh seorang budak. Kadang-kadang memang rasa nak tegur. Nak marah pun ada... Kalau macam itu lah keadaannya, lebih baik solat seorang diri tidak perlu berjemaah.

Mungkin salah satu faktor mengapa kita susah untuk bersatu adalah disebabkan gagalnya kita merapatkan saf di dalam solat. Marilah kita membuat perubahan bersama 'Bahu Membahu'.

"Sesungguhnya Allah menyukai orang yang berperang dijalan-Nya dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang tersusun kokoh" (as-Saff: 4)

Rapatkanlah saf kerana kesempurnaannya ada di situ ... Wallahu a'lam.