Teman biasa umpama pasir yang bertaburan di tepian pantai, manakala sahabat setia tidak ubah seperti sebutir mutiara tetapi tersembunyi di dasar pasir yang bertaburan.
Demikian ketaranya gambaran yang membezakan ‘darjat’ antara seorang teman biasa dan sahabat setia. Memang teman biasa dan sahabat setia berbeza nilainya kerana seorang sahabat setia tidak akan sanggup menikam dari belakang. Seperti sebutir mutiara tetapi tersorok di dasar pasir yang bertaburan, sahabat setia tidak mudah untuk kita temui.
Itulah hakikatnya dan dakaplah telapak tangan ke dada kemudian tanya pada hati, pernahkah kita temui sahabat yang sanggup berkongsi suka dan duka bersama selama kita bernafas di alam fana ini?.
Kalau ada pun, berapa ramai pula di antara kita ini yang bijak menghargai ikatan persahabatan yang murni kemudian mengekalkannya hingga ke akhir hayat?. Tepuk dada, tanyalah selera!. Namun, satu hal yang nyata ialah kita pasti akan terluka di atas segala kelukaan dan kecewa di atas segala kekecewaan andai yang menikam kita adalah sahabat yang paling kita kasihi.