Thursday, 13 January 2011

:: Puasa Di Bulan Rejab ::

Bulan Rejab adalah bulan ketujuh dalam kiraan taqwim Hijriyyah. Bulan ini termasuk salah satu di antara bulan suci dan dinamakan sebagai bulan Allah. Nabi Muhammad bersabda bermaksud : "Bulan Rejab bulan Allah, bulan Syaaban bulanku, dan bulan Ramadhan bulan umatku."

Bulan Rejab juga dianggap bulan istimewa kerana pada bulan ini berlaku peristiwa Isra' dan Mikraj Nabi Muhammad s.a.w.

Di antara amalan yang baik diamalkan di bulan Rejab ialah puasa dan bersedekah. Banyak hadis-hadis Nabi Muhammad s.a.w. menyebutkan tentang kelebihan puasa di bulan Rejab. Antaranya sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh At-Tabarani daripada Sa`id bin Abu Rashid bermaksud : ("Barangsiapa berpuasa sehari daripada bulan Rejab maka ia seperti berpuasa setahun, dan barangsiapa berpuasa daripadanya (bulan Rejab) tujuh hari, ditutup daripadanya pintu-pintu Jahannam (neraka), dan barangsiapa berpuasa daripadanya lapan hari, dibukakan baginya lapan pintu syurga, dan barangsiapa berpuasa daripadanya sepuluh hari, tidak meminta dia kepada Allah melainkan diberikannya, dan barangsiapa berpuasa daripadanya lima belas hari, menyeru orang yang menyeru dari langit : " Sesungguhnya diampunkan bagimu dosa-dosa yang lalu maka mulakanlah amal", dan barangsiapa menambah (hari puasa), Allah menambahnya (kelebihan).")

Dalam hadis yang lain telah dikeluarkan oleh al-Khallal, daripada Abu Sa`id (secara marfu') bermaksud : ("Bulan Rejab adalah di antara bulan-bulan haram, hari-hari di dalamnya ada tertulis di pintu-pintu langit yang keenam, maka apabila seseorang berpuasa sehari daripadanya (bulan Rejab) dan menyempurnakan puasanya dengan penuh ketaqwaan kepada Allah, bercakaplah pintu dan hari tersebut seraya berkata : "Tuhan ampunkan baginya (dosanya)" dan jika dia tidak menyempurnakan puasanya dengan ketaqwaan kepada Allah, maka pintu dan hari itu tidak akan memohonkan ampun baginya, dan dikatakan padanya : "Kau telah ditipu oleh dirimu.")

Niat puasa bulan Rejab ialah :
Maksudnya : "Sahaja aku puasa sunat bulan Rejab kerana Allah Ta'ala".

Demikianlah satu amalan yang baik untuk diamalkan di bulan Rejab, bulan terbukanya pintu langit dan terbukanya pintu syurga. Sama-samalah kita merebut peluang ini dan semoga amalan kita akan diterima oleh Allah Subhanahu Wata'ala.


BULAN REJAB

Bulan Rejab adalah bulan Allah s.w.t.

Diriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda, "Ketahuilah bahawa bulan Rejab itu adalah bulan Allah s.w.t., maka :

1. Barang siapa yang berpuasa 1 hari dalam bulan ini dengan ikhlas, maka pasti ia mendapat keredhaan yang besar dari Allah s.w.t.

2. Dan barang siapa berpuasa pada hari Isra' Mi'raj akan mendapat pahala seperti 5 tahun berpuasa.

3. Barang siapa yang berpuasa 2 hari di bulan Rejab akan mendapat kemuliaan di sisi Allah s.w.t.

4. Barang siapa yang berpuasa 3 hari iaitu pada tanggal 1, 2, dan 3 Rejab maka Allah s.w.t. akan memberikan pahala seperti 900 tahun berpuasa dan menyelamatkannya dari bahaya dunia dan seksa akhirat.

5. Barang siapa berpuasa 5 hari dalam bulan ini, Insya Allah permintaannya akan dimakbulkan Allah s.w.t.

6. Barang siapa berpuasa 7 hari dalam bulan ini, maka ditutupkan 7 pintu neraka Jahanam dan barang siapa berpuasa 8 hari maka akan dibukakan 8 pintu syurga.

7. Barang siapa berpuasa 15 hari dalam bulan ini, maka Allah s.w.t. akan mengampuni dosa-dosanya yang telah lalu dan menggantikan kesemua kejahatannya dengan kebaikan, dan barang siapa yang menambah (hari-hari puasa) maka Allah s.w.t. akan menambahkan pahalanya."

Sabda Rasulullah s.a.w. lagi : "Pada malam Mik'raj, saya melihat sebuah sungai yang airnya lebih manis dari madu, lebih sejuk dari air batu dan lebih harum dari minyak wangi, lalu saya bertanya pada Jibril a.s. "Wahai Jibril untuk siapakah sungai ini?"

Maka berkata Jibril a.s. "Ya Muhammad, sungai ini adalah untuk orang yang membaca selawat untuk engkau di bulan Rejab ini."

Dalam sebuah riwayat Tsauban bercerita : "Ketika kami berjalan bersama-sama Rasulullah ke sebuah kubur, lalu Rasulullah berhenti dan beliau menangis dengan amat sedih, kemudian beliau berdoa kepada Allah. Lalu saya bertanya kepada beliau "Ya Rasulullah, mengapakah engkau menangis?" Lalu beliau bersabda "Wahai Tsauban, mereka itu sedang diseksa dalam kuburnya dan saya berdoa kepada Allah, lalu Allah meringankan atas mereka."

Sabda beliau lagi, "Wahai Tsauban, kalaulah sekiranya mereka ini mahu berpuasa satu hari dan beribadah satu malam saja di bulan Rejab nescaya mereka tidak akan diseksa di dalam kubur." Tsauban bertanya "Ya Rasulullah, apakah hanya berpuasa satu hari dan beribadah satu malam dalam bulan Rejab sudah dapat mengelakkan dari seksa kubur?"

Sabda beliau "Wahai Tsauban, demi Allah, Zat yang telah mengutus saya sebagai nabi, tiada seorang muslim lelaki dan perempuan yang berpuasa satu hari dan mengerjakan solat malam sekali dalam bulan Rejab dengan niat kerana Allah s.w.t., kecuali Allah mencatatkan baginya seperti berpuasa satu tahun dan mengerjakan solat malam satu tahun."