Tuesday, 24 May 2011

Fatimah Az-Zahra - Teladan Agung Yang Dipinggirkan

Sempena kelahiran Fathimah binti Rasulullah, 20 Jamadil Akhir. Seseorang telah bertanya: Mengapakah remaja kita pada hari ini terutamanya anak-anak Melayu beragama Islam mengalami masalah sosial yang kronik? Dijawab:
”Kerana kesalahan memilih idola sebagai perangsang dan idola dalam kehidupan.” Kesedaran mengenai watak pendorong atau idola dalam kehidupan sepatutnya telah disemai sejak tahap pertama kehidupan seorang insan. Kerana itulah hadis telah menyatakan bahawa kanak-kanak itu adalah seumpama kain yang putih, dicorakkan oleh orang tuanya. Dan kain yang putih ini jugalah yang harus dicorakkan dengan corak-corak sebagaimana yang telah dinyatakan,

”Ajarilah anak-anakmu menyintai Allah, Nabi dan keluarga Nabimu.” Pendidikan dan kesedaran yang disuntik dalam anak-anak inilah yang kelak akan membentuk diri dan agamanya. Justeru orang-orang tua kita telah mengajarkan kita bahawa jika mahu melentur buluh, biarlah bermula dari rebungnya. Namun adalah malang apabila kita melihat di sekeliling kita dan kita dapati kain-kain yang sepatutnya mengikut corak yang ditetapkan Rasul Suci telah bertukar menjadi kain-kain kotor yang menyesakkan nafas.

Di mana silap, dan di mana pergi corak-corak indah yang sepatutnya dihiaskan kepadanya? Rebung telah pun menjadi buluh, dan nasi pun telah menjadi bubur. Remaja yang kita lihat di sekeliling kita saat ini telah mengambil bentuk-bentuk buluh dan buburnya yang seolahnya menggambarkan bahawa tiada lagi peluang mereka untuk kembali dalam landasan untuk membina diri dan memurnikan kembali agama pegangan mereka.

Hal ini disebabkan mereka telah kehilangan pelita bagi sehingga mereka meraba dalam kegelapan dan dalam keadaan yang tidak menentu. Akhirnya mereka dibawa ke arah kesesatan yang merosakkan masa depan agama dan diri mereka sendiri. Terdapat elemen-elemen sensitif dalam kehidupan seseorang insan yang jika disentuh dan diangkat akan mampu menggugat ananiyyah (keakuan) dirinya. Boleh jadi sahaja seorang itu merasa terganggu jika pasangannya diganggu, mungkin juga seseorang itu boleh jadi terancam hanya dengan melihat sahabat rapatnya berbual mesra dengan seseorang selain dirinya.

Tetapi apakah ada yang dapat mengatasi perasaan sensitif seorang anak kepada apa yang dilakukan ke atas ibunya? Ibu menduduki tempat yang sangat tinggi di dalam hati insan. Rapatnya seorang anak serta rasa sensitif terhadap ibunya adalah sebuah rahmat yang Tuhan kurniakan kepada seorang ibu dan seorang anak. Atas kesedaran inilah, dalam keadaan kecewa dan hampir berputus asa atas apa yang berlaku di sekeliling kita, kita kembali semula kepada pelukan ibu yang darinyalah kita mendapat rahmat hidup di dunia ini. Fathimah adalah Ibu Sesungguhnya ibu lahiriah dan ibu spiritual masing-masing mempunyai pengaruh kepada kehidupan seorang insan.

Mengenai ibu spiritual ini, Allah telah menggambarkan bahawa kepada setiap para mukminin, isteri-isteri Rasul adalah merupakan ibu kepada mereka dari umat ini. Isteri-isteri rasul ini dipakaikan gelaran Ummul Mukminin yang bermaksud bahawa mereka adalah ibu-ibu kepada para mukminin dari ikatan spiritual. Menghormati mereka adalah dituntut dan merekalah yang harus menjadi tempat berteduh kepada umat ini. Berteduh dari ribut kejahatan, dan berlindung dari taufan kemaksiatan. Justeru Allah mengangkat mereka begitu tinggi ke atas setiap lelaki dan wanita dan mendudukkan mereka di tempat yang sangat tinggi iaitu ke darjat seorang ibu.

Kerana itu jugalah, kepada para ibu yang menduduki darjat Ummul Mukminin ini ke atas mereka ancaman besar Tuhan sekiranya mereka gagal dalam melaksanakan tugas yang telah dipikulkan ke atas mereka (Surah at-Tahrim). Namun hadis-hadis sahih menunjukkan akan adanya seorang wanita lain yang mengungguli para Ummul Mukminin dan mengungguli kesemua wanita di alam ini mahupun di akhirat. Beliaulah yang sejak kecilnya membela Islam dan merawat Rasul. Beliaulah yang Rasul nyatakan, ".....Tidakkah engkau redha bahawa engkau adalah Sayyidati-nisa fil-Jannah (pemimpin wanita di syurga) atau pemimpin wanita seluruh alam..."

(Sahih Bukhari, Jil. 4, hadis 819) Beliaulah Fathimah yang ketinggiannya darjatnya tidak sahaja diketahui dari aspek lerohaniannya, malah dari aspek fizikal sekalipun beliau mengungguli kaum lelaki dan wanita kerana beliau adalah darah daging Rasul secara langsung dan beliau di sisi Rasul adalah bahagian dari Rasul sendiri:

"Fathimah adalah bahagian dariku, barangsiapa yang membuatnya marah, membuatku marah!" (Bukhari, Sahih, Kitab Bad'ul Khalq, bab ‘Manaqib Qarabah Rasul’). Rasulullah saaw bersabda: "Fathimah adalah sebahagian daripadaku; barangsiapa meraguinya, bererti meraguiku, dan membohonginya adalah membohongiku" (Bukhari, Sahih, Kitab nikah bab ‘Dzabb ar-Rajuli’) Lalu apabila para isteri Rasul adalah Ummul Mukminin (Ibu kepada orang-orang beriman), maka Fathimah pula adalah Ummu Abiha (Ibu kepada ayahnya) apabila Rasul yang merupakan Rahmatan lil ’alamin (Rahmat Seluruh Alam) dengan jelas berkata :

”Fathimah ummu Abiha.” (Ibn Atsir, Usul Al Ghabah, Jilid V, Hal. 250, Ibn Abdul Barr, Al Isti’ab, Jilid II, Hal. 752). Demikianlah kedudukan tinggi Puteri suci ini di sisi Allah dan RasulNya. Fathimah ibu yang dilupakan Kebanyakan kita pada hari ini telah melupakan beliau. Seharusnya beliaulah yang menjadi idola dan kebanggaan kita semua. Akhirnya tempat beliau telah kita gantikan dengan wanita-wanita dan ikon-ikon lain yang sama sekali tidak akan pernah mampu dibandingkan dengan Puteri Suci rasul ini. Maka jadilah umat ini umat yang tidak mengenali ibunya Rahmatan lil ’Alamin.

Mereka mengambil tokoh salah untuk dijadikan idola. Akhirnya, mereka menempuh jalan-jalan yang tidak sejalan dengan Puteri Rasul, dan menjauhkan mereka dari sisi agama. Atas kesedaran inilah, maka mengapa tidak kita perbaharui cinta kasih kita kepada puteri suci ini. Marilah kita membina semula takhta buatnya di hati-hati kita, biarlah tangan keibuannya memimpin kita ke taman yang indah, jauh dari hingar bingar kejahatan dan kerosakan. Mengapa harus menjadikan Fathimah sebagai idola Biarlah sentuhan lembut keibuannya itu dapat melembutkan hati-hati keras kita. Fatimah ialah ibu.

Manusia sangat sensitif terhadap ibunya. Daripada ibulah lahir/hidup/datang sesuatu; daripada induk, muncullah semuanya. Justeru, ibu lah yang perlu ”dihidupkan kembali”, kemudian barulah anak-anak akan pulang kepada ibunya. Apabila kita mengimbau ataupun mengingati Fatimah, sebenarnya kita telah menghidupkan semula Fatimah. Menjadikannya sebagai idola, maka menjadikan kita bersemangat untuk memilih jalan hidup sepertinya. Fatimah merupakan Kautsar, iaitu sungai syurga yang tidak putus-putus; ataupun dengan maksud yang lain, nikmat yang banyak.

Sepertimana Firman Allah SWT dalam surah Al-Kautsar: Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasihani. “Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadamu al-Kautsar. Maka dirikanlah shalat kerana Tuhanmu; dan berkorbanlah. Sesungguhnya orang-orang yang membenci kamu dialah Abtar (yang terputus)” (Surah al-Kautsar 108 : 1-3) (Ayat di atas telah diturunkan selepas orang-orang kafir menggelarkan Nabi sebagai al-Abtar yang bermaksud lelaki yang terputus.

Ini kerana mereka mendakwa Nabi tidak dikurniakan anak lelaki untuk meneruskan keturunannya.) Adakah kebaikan yang banyak ini wujud hanya di zaman Rasulallah s.a.a.w? adakah selepas kewafatan Rasulallah s.a.a.w, kebaikan yang banyak itu, sudah tiada lagi? Sebenarnya, kebaikan itu masih wujud, tetapi bagaimana orang ingin mendapatkan kebaikan itu jika dia telah dibunuh di dalam hati-hati manusia? Hati menjadi kering dan tandus. Ketika perkara jahat dan dosa adalah amalannya sebagaimana tanah yang kering yang ditumbuhi hanya pohon-pohon berduri dan beracun.

Kita telah sangat mengetahui bahawa Syurga di bawah kaki ibu. Di dalam syurga, mengalirlah Kautsar yang menyegarkan. Biarkanlah kejernihan Kautsar mengalir ke seluruh hati sehingga hati pun menjadi taman-taman indah, berbunga mekar dan haruman semerbaknya kan mengharumi ke seluruh alam. Apabila Kautsar telah mengalir di dalam hati, hati kan menjadi subur dan menghijau. Segala benih perosak tidak boleh masuk ke dalam hati. Tatkala hati mulai subur, segala penyakit hati pun kan segera sembuh. Fathimah adalah Kautsar dan riwayat juga menyatakan bahawa beliau adalah epal syurga yang dikurniakan kepada Rasul. Rasul menyatakan,

Setiap kali aku merindukan syurga, aku kan mencium Fathimah.” (Mustadrak al-Hakim) Masalah sosial tidak boleh diselesaikan dengan membawakan masalah sosial yang lain. Jika kita ingin mendapatkan sesuatu dengan cara bermaksiat kepada Tuhan, maka pasti kita lebih jauh dari apa yang kita hajatkan, dan lebih dekat kepada apa yang kita takut-takutkan. Formula untuk menghidupkan sesuatu haruslah dengan sesuatu yang hidup, bukan dengan sesuatu yang telah mati. Hati ibarat tanah yang Allah turunkan air menghidupkannya:

”Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, silih bergantinya malam dan siang, bahtera yang berlayar di laut membawa apa yang berguna bagi manusia, dan apa yang Allah turunkan dari langit berupa air, lalu dengan air itu Dia hidupkan bumi sesudah mati (kering)-nya dan Dia sebarkan di bumi itu segala jenis hewan, dan pengisaran angin dan awan yang dikendalikan antara langit dan bumi; sungguh (terdapat) tanda-tanda (keesaan dan kebesaran Allah) bagi kaum yang memikirkan.” (Surah Al-Baqarah: 164) Fathimah adalah Fithrah Seringkali kita menyebut perkataan ‘fitrah’, maka ketahuilah bahawa sesungguhnya perkataan fitrah itu berasal dari kata Al-Fathir yang merupakan salah satu daripada Nama-Nama Allah yang Agung, yang bermaksud mencipta atau menjadikan sesuatu tanpa sebarang contoh.

Tatkala Rasul dianugerahkan Allah dengan Kautsar yang berupa seorang puteri suci, baginda telah diperintahkan supaya berkorban. Kemudian, Rasul s.a.a.w yang oleh Al-Quran dinyatakan sebagai : “Ucapannya itu tiada lain hanyalah wahyu yang diwahyukan” (Surah An-Najm: 4) telah kemudiannya menamakan puteri sucinya itu dengan Fathimah di mana nama Fathimah ini berasal daripada nama Al-Fathir. Fithrah yang wujud dalam diri-diri manusia adalah Fathimah dalam kewujudannya sebagai ibu fitrah. Fathimah adalah “Ummu Abiha” yang sekaligus menjelaskan betapa Fathimah adalah ibu fitrah yang juga wujud dalam jiwa Rasul s.a.w.

“Maka, hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama (Allah). (Tetaplah atas) fitrah Allah yang telah menjadikan manusia menurut fitrah itu”. (Surah Ar-Rum: 30) Secara dasarnya ayat di atas memberi erti suatu keadaan yang dengan itu manusia diciptakan. Maknanya, Allah telah menciptakan manusia dengan keadaan tertentu yang mengandungi ciri-ciri khusus yang ditempatkan Allah di dalam diri manusia sewaktu dia diciptakan dan keadaan itulah yang menjadi fitrahnya. Hadis menyatakan, “Setiap bayi dilahirkan dalam keadaan fitrah, kemudian kedua-dua ibubapanya yang menjadikannya Yahudi, atau Nasrani, atau Majusi”.

Ayat Al-Quran dan Hadis di atas, memberikan petunjuk bahawa manusia sejak awal penciptaannya telah dianugerahkan dengan fitrah daripada Tuhan, namun sebarang penyimpangan dari fitrah Tuhan ini berlaku kerana pengaruh luaran seperti yang dinyatakan oleh hadis di atas. Apabila Fathimah adalah berasal dari al-Fathir, dan al-Fathir juga adalah kata akar kepada kalimah fitrah, maka fathimah dan fitrah adalah sebenarnya satu hakikat yang tiadk diketahui. Kembalilah kepada ibu spiritualmu kerana ia akan membawa anda akan kembali kepada fitrahmu.

Fitrahmu tidak akan pernah bersetuju kepada keburukan dan tidak akan membawamu kepada kejahatan. Manfaat Kecintaan kepada Fathimah adalah bersifat universal Fatimah sesuai menjadi rujukan kepada perempuan dan juga lelaki. Walaupun sesetengah beranggapan bahawa Fatimah adalah hanya untuk wanita, namun pandangan ini adalah jelas bercanggahan dengan riwayat: Diriwayatkan bahawa Aisah mengatakan, ”Aku tidak melihat adanya seorang pun yang mirip Rasulullah s.a.a.w baik dalam sifat, mahupun cara berdiri dan duduknya kecuali Fathimah”. (Al Bukhari, Sahih, Adab Al Mufrad Hlm 136, Al Hakim, Mustadrak, Jilid III, Hlm 154) Juga, ”Aku tidak melihat seorang pun yang lebih mirip kepada Rasulullah s.a.a.w dalam berkata dan berbicara selain Fathimah ”, (Fairuzabadi Fadha’il Al Khamsah, Jilid II, Hlm 154). Fathimah adalah untuk semua, iaitu bersifat universal dan semua pihak boleh mengambil teladan daripadanya, tidak hanya khusus buat kaum wanita sahaja.
Menyintainya akan memberikan kebaikan yang besar di dunia dan diakhirat: Dari Sayyidina Ali bin Abi Thalib yang berkata, “Rasulullah saaw memberitahuku bahawa orang yang pertama memasuki Syurga ialah aku, Fathimah, Hasan dan Husein.” “Bagaimana dengan orang-orang yang menyintai kita?” soalku. “mereka di belakang kalian.” (al-Hakim seperti yang dipetik as-Suyuthi dalam Musnad Fathimah az-Zahra) Fathimah adalah Kautsar yang bererti kebaikan yang banyak. Namun adakah kebaikan yang banyak itu hanya wujud di zaman Rasulullah s.a.a.w sahaja? Sebenarnya, kebaikan itu masih wujud, tetapi bagaimanakah orang ingin mendapatkan kebaikan itu jika Fathimah telah ’dibunuh’ di dalam hati-hati anda wahai manusia? Kenalilah ibumu Fathimah, cintailah Dia! "