Friday 8 July 2011

:: Kasih Sayang Allah s.w.t ::

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang disembah selain Allah yang Esa, tiada sekutu bagiNya dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhammmad saw itu hamba dan pesuruhNya. Selawat berserta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad saw yang memiliki akhlaq terpuji dan menjadi ikutan selamanya. Juga buat orang2 yang beramal soleh dan kesekalian dari kita.

Seronok melihat puteri kesayangan saya membesar. Semakin comel dan semakin bijak. Untuk kami, dialah penawar segala duka. Melihat keletahnya memang tidak kering gusi dibuatnya. Ada² saja yang akan dilakukannya. Pada kebiasaannya, datuk dan neneknyalah yang menjadi mangsa. Pantang melihat orang buat kerja, pasti akan diganggu. Almari pakai mereka habis 'dikemaskan'.

Hanya satu yang menjadi masalah. Kedegilannya. Bukan degil bagaimana, cuma setiap apa yang kita larang itulah yang terlalu ingin dibuatnya. Memanjat meja makan, tingkap dan sebagainya. Mungkin kerana umurnya belumpun setahun setengah, jadi dia tidak benar² memahami mengapa kami melarangnya. Kami harap, semakin dia membesar, semakin dia faham mengapa kami melarangnya berbuat sesuatu.

Sebenarnya, melihatkan keadaan puteri saya membuatkan saya teringat sifat keseluruhan manusia secara amnya. Tampaknya seperti ada persamaan. Persamaan dari segi, seronok melakukan apa yang dilarang. Semakin dilarang, semakin pula seronok untuk membuatnya. Hanya, dalam kes kita, yang melarang adalah Allah swt, Tuhan Yang Maha Mencipta dan Maha Mengetahui.

Namun asas mengapa sesuatu larangan itu dibuat adalah jelas. Kerana kasih sayang. Rasanya sesiapa yang ada atau pernah ada anak kecil akan faham bahawa kita orang dewasa melarang anak² ini melakukan sesuatu bukanlah kerana dengki atau cemburu sebaliknya kerana risaukan keselamatan mereka. Kerana kita sayangkan mereka dan tidak mahu sesuatu yang tidak baik berlaku ke atas mereka.

Begitu juga hakikat larangan Allah terhadap banyak perkara di dunia ini. Adakah kerana Allah sengaja mahu menyekat kita menikmati keseronokan dunia?

Tidak! Atau adakah kerana Allah sengaja mahu menyusahkan kita? Juga tidak! Bahkan ianya untuk kebaikan kita secara keseluruhannya agar tidak ditimpa kecelakaan. Lebih dari itu, segala larangan itu adalah tanda kasih sayang Allah terhadap kita.

Namun anak² kecil ini tidak akan mengerti mengapa kita melarangnya. Kerana pemikiran mereka yang belum mumaiyiz. Belum mampu membezakan antara yang baik dengan yang buruk. Dan sebenarnya, begitu jugalah hakikat kita sebagai manusia. Pemikiran kita adalah cetek dan terhad. Kita tidak mempunyai kepandaian seperti Allah untuk menilai sesuatu larangan yang Dia perintahkan.

Lalu mengapa mesti kita mempersoalkan apa yang Allah larang? Mengapa, jika Allah menyuruh kita menutup aurah, kita masih mahu degil. Bahkan memberikan alasan² yang tidak masuk akal. Apakah kita menyangka fikiran kita ini jauh lebih bijak dan lebih pandai dari Allah maka kita tahu apa yang lebih baik untuk kita? Atau apakah kita ini tidak 'terikat' kepada perintahNya?

Begitu juga, apabila Allah melarang pengambilan riba dan untung yang berlebihan. Apakah kita ingin katakan Allah sebenarnya sengaja tidak mahu kita memperolehi kesenangan yang lebih mudah? Dan juga larangan² yang lainnya seperti zina, minum arak, meninggalkan solat dan lain². Jelas, jika kita melanggar arahan ini bererti kita menolak hakikat Allah lebih mengetahui apa yang terbaik buat kita.

Sebenarnya Allah amat² menyayangi kita. Sungguhpun Allah tidak memerlukan kita. Bahkan jika Dia tidak menciptakan Adam as buat pertama kalipun tidak ada tidak ada apa yang terjejas bagiNya. Walaupun sebesar sayap nyamuk. Dan seandainya kita melanggar segala arahanNya dan kita terjerumus ke lembah kemusnahan sekalipun, tidak akan sedikitpun kurang kerajaanNya.

Tetapi demi kasih sayang Allah terhadap kita hamba yang hina, Dia telah mengutuskan bukan seorang, bukan dua orang bahkan ribuan nabi² dan rasul² semata² untuk menolong kita. Supaya kita tidak teraba dalam gelap. Supaya kita tidak terjerumus ke lembah kehinaan. Supaya kita semua akan kembali menghadapNya dalam keadaan yang suci dan berseri².

Lantas apakah tindakan kita bagi membalas kasih sayang Allah ini? Ya, kita sambut kedatangan nabi² ini terutamanya khotimul anbiya Nabi Muhammad saw dengan menyatakan iman kepada baginda dan perkara yang baginda bawa. Kemudian? Apakah dengan pernyataan iman itu sudah mencukupi? Sedang pada hakikat, hampir segala yang Baginda saw bawa kita dustakan.

Apakah ini caranya menghargai kasih sayang Allah? Mengenepikan apa yang Dia perintahkan atau melakukannya secara sambil lewa jikapun tidak diabaikan terus. Tidak. Tidak. Saya bukan berkata tentang orang lain. Apa yang saya sebutkan di sini adalah tentang diri saya sendiri. Saya tidak tahu amalan orang lain. Apa yang saya tahu adalah kelemahan saya sendiri.

Allah telah mengurniakan saya terlalu banyak kelebihan dunia. Ibu bapa yang penyayang, isteri yang memahami, bayi perempuan yang comel, kerjaya yang agak kukuh dan sebagainya. Namun saya sebagai hamba tidak pernah atau tidak pernah cukup mensyukuri apa yang telah Dia kurnia. Bahkan sering meminta yang lebih lagi. Sukar untuk menyatakan 'cukup' di dalam hati ini.

Apakah segala amalan kita ini cukup untuk membayar apa yang telah Allah kurniakan? Tidak! Bahkan jika kita beribadat untuk 100,000 tahun lagi sekalipun tidak mungkin dapat membayar walau sebesar kepala jarumpun segala nikmatNya. Kerana setiap saat, setiap detik bahkan setiap milisaat kita sentiasa berharap kepada kurniaanNya untuk meneruskan hidup.

Maka kerana itu Allah tidak pernah meminta kita membalas segala kurniaanNya. Apa yang Allah mahu hanyalah untuk kita membesarkanNya yang sememangnya paling layak untuk dibesarkan. Hanya untuk kita mengagungkannya yang sememangnya paling layak untuk diagungkan. Sayang sekali perkara mudah begitupun saya gagal. Pun begitu, Allah masih sudi juga menyalurkan nikmatNya buat saya.

Alhamdulillah... Segala pujian bagi Allah. Jika tidak kerana kasihNya, tidak saya akan berada di sini menulis artikel ini. Semoga Allah menjadikan kita manusia yang sering bersyukur. Dan semoga kita semua menjadi orang yang pandai menghargai kasih sayang yang dicurahkanNya.

"Ya Allah! Sesungguhnya tiada Tuhan melainkan Engkau. Dan sesungguhnya kami orang² yang lemah dan sering lupa. Maka jadikanlah kami orang² yang ingat dan tahu mensyukuri nikmatMu. Amin... Ya Rabbal'alamin..."