Wednesday, 6 July 2011

:: Safar Bukan Bulan Sial ::

MASYARAKAT Arab pada zaman jahiliyah iaitu sebelum kedatangan Islam terkenal dengan amalan yang bercanggah dengan syarak. Perjalanan kehidupan mereka dibayangi amalan syirik, tahyul dan khurafat. Sebagai contoh, sebelum memulakan perjalanan, mereka akan melihat fenomena sesetengah binatang. Mereka melepaskan burung mahupun busur panah ke kiri atau ke kanan, dengan anggapan arah itu boleh mempengaruhi keburukan atau kebaikan.

Jika gerakan itu menunjukkan alamat yang tidak baik, mereka membatalkan hasrat untuk meneruskan perjalanan dan perkara sebegini disebut sebagai 'tathayyur' atau meramalkan sesuatu kejadian yang buruk disebabkan oleh sesuatu perkara.

Islam menyelar budaya tathayyur dan menganggap ia satu perbuatan mencemar kemurniaan tauhid kerana bergantungnya hati seseorang kepada sesuatu perkara selain daripada Allah dengan meyakini perkara itu boleh membawa mudarat atau manfaat. Firman-Nya bermaksud: "Katakanlah (wahai Muhammad): "Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dialah Pelindung yang menyelamatkan kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman bertawakal." (at-Taubah: 51)

Menyandarkan sesuatu musibah bakal menimpa kerana sesuatu perkara seperti gerakan binatang, kedudukan bintang, waktu atau masa yang tertentu dan lain-lain adalah perbuatan yang tercela. Oleh itu, bagi sesiapa yang melakukan sesuatu keputusan berdasarkan tathayyur, dia sudah terjebak dalam lembah kesyirikan, namun yang menyedihkan setiap kali tiba bulan Safar, budaya jahiliyah yang diperangi Islam ini seakan-akan muncul semula.

Safar adalah bulan kedua dalam kalendar Hijrah dan Safar bermaksud kosong atau meninggalkan sesuatu tempat. Penamaan bulan yang kedua ini sebagai Safar kerana kebiasaan orang Arab meninggalkan rumah mereka pada bulan ini bertujuan memerangi musuh dan mereka juga gemar mengembara pada bulan ini.

Kebanyakan orang Arab pada zaman jahiliyah beranggapan ada kesialan pada bulan ini. Ternyata pemikiran jahiliyah ini masih diwarisi segelintir kecil umat Islam pada zaman ini akibat lemahnya iman dan jahil terhadap ilmu tauhid. Mereka beranggapan Safar adalah bulan Allah menurunkan kemarahan dan hukuman ke atas dunia. Oleh itu, banyak musibah dan bencana terjadi pada bulan Safar khususnya pada Rabu minggu terakhir.

Sesetengah umat Islam menghindarkan diri daripada melakukan perjalanan pada bulan Safar melainkan ada keperluan mendesak. Contohnya dalam kitab al-Futuhat al-Haqqaniy, penulis kitab terbabit memilih untuk menahan diri daripada keluar berjalan pada bulan Safar dan menasihati semua pengikut tarekat itu tidak meninggalkan rumah melainkan jika benar-benar perlu.

Dalam kitab itu dikhabarkan yang Syeikh tarekat terbabit, Abdullah Faiz Daghestani berkata: "Pada hari Rabu terakhir bulan Safar, 70,000 penderitaan (bala) akan menimpa dunia. Sesiapa yang mengekalkan adab ini yang disebut (beberapa amalan yang tertentu), dia akan dilindungi oleh Allah yang Maha Kuasa."

Bagi segelintir orang Melayu pula ada yang menghindari daripada mengadakan majlis perkahwinan pada bulan Safar kerana dipercayai jodoh pasangan pengantin itu tidak berkekalan dan kelak akan susah untuk mendapatkan zuriat. Ada juga beranggapan bayi yang lahir pada bulan Safar bernasib malang dan hendaklah dijalankan satu upacara khas untuk membuang nasib malang itu. Semua ini perkara tahyul dan khurafat yang harus dibanteras sehingga ke akar umbi.

Firman-Nya bermaksud: "Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah; dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar); dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu." (at-Taghaabun: 11). Lantaran itu beberapa amalan bidaah dicipta sempena bulan Safar ini untuk menghindari sebarang bentuk malapetaka, seperti mandi safar, yang dilakukan sesetengah orang Melayu satu ketika dulu. Mereka mandi beramai-ramai di tepi sungai mahupun pantai yang dianggap sebagai satu ritual untuk menolak bala pada bulan Safar serta menghapuskan dosa.

Diceritakan orang Melayu berarak menuju ke destinasi terpilih diiringi alunan muzik, nyanyian, jampi serapah dan alunan zikir tertentu. Selepas itu, mereka membaca jampi tertentu atau menulis ayat tertentu di atas kertas lalu memasukkannya ke dalam bekas berisi air dan mandi dengannya. Sebenarnya amalan mandi Safar ini diwarisi daripada budaya Hindu.

Walaupun pesta mandi Safar ini makin lupus dalam budaya Melayu, masih ada sesetengah pihak yang melakukan pembaharuan dalam upacara berkenaan. Lalu diarahnya menulis ayat tertentu pada kertas atau papan dan direndam di dalam kolah atau tangki air untuk seluruh ahli keluarga mandi.

Syeikh Muhammad Abdussalam al-Syaqiry berkata: "Orang-orang awam biasa menulis ayat tertentu mengenai keselamatan di atas kertas, misalnya ayat: Salam sejahtera kepada Nabi Nuh dalam kalangan penduduk seluruh alam!

Pada Rabu terakhir bulan Safar, mereka meletakkannya di dalam bekas (berisi air) untuk diminum airnya dan untuk mencari keberkatan kerana mereka berkeyakinan hal ini akan menghilangkan nasib buruk. Ini adalah keyakinan yang sama sekali salah dan harus ditentang."

Selain itu, ada pula mengadakan solat sunat empat rakaat pada Rabu terakhir bulan Safar, iaitu selepas terbit matahari dan sebelum masuknya waktu Zuhur. Pada setiap rakaat orang yang mengerjakannya diminta membawa surah al-Fatihah sekali, al-Kautsar 17 kali, al-Ikhlas lima kali, al-Falaq dan an-Naas sekali dengan satu tahiyat, diiringi doa khusus selepas solat.

Ternyata tiada dalil sah menunjukkan solat sunat dan bacaan doa berkenaan. Lebih-lebih lagi dalam doa itu ada lafaz tawassul yang dilarang syarak iaitu menjadikan Saidina Hassan r.a, Hussain, Ali, Fatimah dan keturunan mereka sebagai perantara dalam berdoa.

Semua amalan yang dikhususkan sempena bulan Safar termasuk berkorban pada 27 Safar, memperbanyakkan sedekah bagi mengelak bencana serta membaca surah dan zikir tertentu tidak pernah diperintah Rasulullah. Rasulullah bersabda, maksudnya: "Sesiapa yang melakukan satu amal yang bukan dari suruhan kami (iaitu di dalam perkara berkaitan agama), tertolaklah ia. (Hadis riwayat Imam Muslim)