Friday 8 July 2011

:: Muhammad Lenyapkan Kekufuran, Kejahilan ::

"BUKANLAH Muhammad itu bapa daripada seorang lelaki di antara kamu, tetapi dia Rasul Allah dan penutup nabi-nabi. Dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu." (al-Ahzab:40)

Nabi Muhammad s.a.w memimpin manusia ke arah kebenaran dan kejayaan, melenyapkan kegelapan, kekufuran dan kejahilan.

Baginda dirujuk sebagai Rasulullah s.a.w. Namanya turut ditulis sebagai Mohammed dan Muhammed, bermakna "orang yang dipuji" dan ada dinyatakan empat kali dalam al-Quran.

Selain itu, dengan nama Ahmad (bermakna terpuji), seperti dijelaskan pada ayat 6, surah as-Saaf, maksudnya: "...Dan memberikan berita gembira dengan seorang Rasul yang akan datang kemudian daripadaku bernama Ahmad..."

Al-Quran juga memberikan penghargaan terhadap baginda dengan gelaran, Nabi, Rasul, hamba Tuhan, penyampai berita baik, pemberi amaran, pengingat dan saksi.

Beberapa perkataan lain turut digunakan bagi diri Nabi Muhammad s.a.w seperti al-Aqibah (kesudahan; kerana tiada nabi selepasnya), al-Hasyir (menghimpun; kerana manusia dihimpunkan atas agama yang dibawanya) dan Khatamun Nabiyyin (penamat semua nabi).

Malah, baginda turut dirujuk dengan sesuatu hal seperti orang yang berselimut sebagaimana yang dinyatakan ayat 1 surah al-Muzzammil bermaksud: "Wahai orang yang berselimut!"

Nabi Muhammad s.a.w diputerakan pada Isnin, 12 Rabiul Awal Tahun Gajah, daripada keturunan mulia lagi berkedudukan dalam masyarakat Arab dan diperakui sebagai insan terbaik di kalangan anak Adam.

Ahli sejarah terkenal Ibnu Ishak dilaporkan, menyatakan baginda diputerakan pada Isnin, 12 Rabiul Awal, Tahun Gajah bersamaan 20 April 571 Masihi.

Sheikh Yusuf al-Qaradawi berkata, tarikh tepat keputeraan baginda ialah pada Isnin, 9 Rabiul Awal (20 atau 22 April 571), iaitu tahun yang sama tentera bergajah menyerang Kaabah.

Ketika masih dalam kandungan, baginda menjadi yatim, kerana ayahandanya Abdullah bin Abdul Muttalib, seorang saudagar meninggal dunia dalam perjalanan dari Syria ke Makkah ketika baginda dalam kandungan ibunya berusia enam bulan.

Pada usia enam tahun baginda menjadi yatim piatu, kerana ibunya Aminah meninggal dunia di Abwa, lalu tinggal bersama datuknya, Abdul Mutalib.

Selepas datuknya meninggal, baginda tinggal dengan bapa saudaranya, Abu Talib.

Ketika usianya 12 tahun, baginda mengikuti Abu Talib membawa barang perniagaan ke Syam (Syria), tetapi sebelum sampai ke tempat itu, iaitu di Bushra, kabilah yang disertai baginda bertemu pendeta Nasrani, bernama Buhaira.

Pendeta itu mendapati ada tanda kenabian pada diri baginda, lalu dia menasihatkan Abu Talib membawa baginda pulang ke Makkah, kerana bimbang terserempak orang Yahudi yang mahu membuat aniaya.

Baginda berkahwin pada usia 25 tahun, menerima wahyu yang pertama dari Tuhan pada usianya 40 tahun untuk mengalas tugas sebagai utusan Allah.

Baginda berdakwah di Makkah selama 13 tahun dan di Madinah 10 tahun.
Selepas kira-kira 23 tahun menjadi utusan Tuhan, Nabi s.a.w jatuh sakit dan wafat. Pada waktu itu, hampir keseluruhan penduduk Semenanjung Arab menjadi Muslim dan semua suku kaum bersatu di bawah satu nama iaitu Islam.

Baginda wafat pada Isnin 12 Rabiul Awal tahun kesebelas Hijrah bersamaan 8 Jun 632 Masihi, pada usianya 63 tahun.

Menurut Ibnu Abbas, Rasulullah s.a.w dilahirkan pada Isnin, baginda dilantik menjadi nabi pada Isnin, baginda berhijrah dari Makkah ke Madinah juga pada Isnin dan baginda wafat juga pada Isnin.



Baginda terkenal sebagai pemimpin negara, ahli perniagaan, ahli falsafah, pemidato, penggubal undang-undang, tokoh pembaharuan dan jeneral tentera yang berkaliber.



Nabi s.a.w juga rahmat kepada manusia dan seisi alam. "Kami tidak mengutuskan engkau (Muhammad) kecuali menjadi rahmat bagi semesta alam." (al-Anbiya: 107)



Hadis riwayat Ahmad ada menerangkan kelebihan diri baginda, maksudnya: "Sesungguhnya Allah menjadikan makhluk, maka Allah menjadikan aku sebaik-baik makhluk-Nya, Dia menjadikan beberapa kabilah, maka menjadikan aku dalam sebaik-baik kabilah."



Sarjana bukan Islam, Gottfried Leibniz (meninggal 1716), yang pakar dalam matematik, metafizik dan falsafah, memuji Muhammad kerana "baginda tidak menyimpang daripada agama asal."



William Montgomery Watt, Prof Emeritus dalam Pengajian Arab dan Islam di Universiti Edinburgh, pernah menyatakan agama bagi (Nabi) Muhammad bukanlah perkara individu, tetapi lebih dari itu.



Menurutnya, baginda menyentuh bukan saja aspek agama dan intelektual, malah bidang ekonomi, sosial dan politik.



Oleh itu, umat Islam wajar menyanjungi Nabi Muhammad s.a.w dan meraikan sambutan maulidur rasul bagi mengingati keputeraan baginda.



Bekas ketua jawatankuasa fatwa al-Azhar, Sheikh `Atiyyah Saqr, dilaporkan menegaskan: "Dibenarkan untuk menyambut ulang tahun keputeraan Nabi sebagai melahirkan kecintaan kita kepada baginda dan usaha kita untuk mengikuti contoh baginda, dengan tidak membabitkan mana-mana perkara yang dilarang."



Menurut al-Qaradawi pula, sambutan seperti itu diadakan sebagai tujuan untuk menyedarkan semula peristiwa agung dan nilainya yang boleh kita pelajari daripadanya.